Tazkziah kami ucapkan kepada Rusdi Ramli sekeluarga atas pemergian bapa tercinta, Ramli Ismail yang meninggal dunia akibat terjatuh ketika hendak pergi bilik air, 3 pagi semalam.
Bekas isteri arwah yang juga pelakon veteran, Norlia Ghani berkata, arwah meninggal pada usia 78 tahun di rumahnya di Damansara Damai, Petaling Jaya.
"Saya dimaklumkan arwah terjatuh ketika nak ke bilik air awal pagi tadi (semalam). Selepas itu dia terus tak sedarkan diri. Anak arwah cuba memberikan bantuan pernafasan melalui mulut (CPR) tapi gagal.
"Kemudian mereka (anak dan isteri) menghubungi ambulans dan arwah dikejarkan ke Hospital Sg Buloh. Namun arwah tak dapat diselamatkan.
"Setahu saya arwah tak ada sebarang penyakit lain. Mungkin ini sudah ajalnya. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.
Ramli atau lebih dikenali sebagai Ramli Kechik meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari kediamannya di Damansara ke Hospital Sungai Buloh.
Difahamkan, jenazah dimandikan Masjid Damansara Damai dan dikebumikan di kawasan berhampiran.
Norlia dan allahyarham berkahwin pada 1969 dan dikurniakan empat anak iaitu Rusdi, Romiza, Eddie dan Amy. Namun mereka bercerai pada 1986.
Kemudian arwah berkahwin kali kedua dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 23 tahun.
Beliau yang merupakan rakan seangkatan seniman agung, Tan Sri P Ramlee itu pernah berlakon watak tambahan dalam filem Nasib Do Re Mi, manakala menerusi filem Laksamana Do Re Mi, dirinya memegang watak Perdana Menteri Negara Pasir Berdengung.
Sumber: Harian Metro & Berita Harian
0 comments:
Post a Comment